I follow... :)

Selamat Hari Raya Aidiladha..

rasanya tak terlambat lagi akk nak ucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha kepada kengkawan dan sesapa saja yang singgah kat dapur buruk ahkak ni...

mari lah sama2 kita menghayati apa erti korban..
kredit to mukmin.com

MASIH ingatkah kisah Wan Hafizam Wan Jusoh yang sanggup berkorban menderma sebahagian hatinya kepada seorang bayi yang tidak ada pertalian darah dengannya?

Kecekalan serta nilai kemanusiaan yang tinggi di jiwa pemuda terbabit membolehkan bayi kecil berkenaan kini dapat terus menikmati kehidupan selepas mendapat 'nyawa' hasil pendermaan itu.


Peristiwa berkenaan sudah lebih 10 tahun berlalu dan dikhabarkan Wan Hafizam kini sudah mempunyai keluarga serta hidup bahagia bersama keluarganya.

Itu antara keperibadian mulia yang perlu dicontohi apatah lagi pengorbanan berkenaan hanya bersandarkan kasih sayang sesama insan walaupun nyawa sendiri menjadi taruhan.

Begitu juga ertinya pengorbanan dilakukan individu yang rapat dengan kita seperti ibu bapa, guru serta sahabat.

Pengorbanan ibu bapa sememangnya tiada taranya. Tiada sesiapa pun di dunia ini yang mampu membalas semula segala jasa dan pengorbanan orang tua mereka.

Pejuang kemerdekaan terdahulu juga melakukan pengorbanan besar terhadap kita dan tanpa pengorbanan mereka, mana mungkin kita dapat menikmati keadaan negara seperti sekarang yang semuanya hidup dalam kerukunan.

Hari ini umat Islam di seluruh dunia merayakan Aidiladha dengan melakukan ibadat korban menerusi penyembelihan binatang ternakan bersama-sama untuk disedekahkan kepada umat Islam yang serba kekurangan.

Malah, ibadat korban ini juga bukan satu ibadat bersifat 'biasa' kerana pemilihan binatang untuk dijadikan korban amat dititikberatkan. Ini termasuk memilih binatang yang benar-benar sihat, cukup umur dan tiada kecacatan.

Allah s.w.t berfirman yang bermaksud: "Sesungguhnya Kami memberikan kepadamu nikmat yang banyak. Maka dirikanlah solat kerana Tuhanmu dan berkorbanlah (sebagai tanda syukur)." (Al Kautsar ayat 1-2)

Ibadat korban dilakukan sebagai mengingati peristiwa pengorbanan agung pernah dilakukan seorang bapa, Nabi Ibrahim a.s serta anaknya Nabi Ismail a.s selepas mendapat perintah Allah s.w.t untuk melakukan perkara yang amat mustahil dilakukan manusia biasa.

Bagi umat Islam, ibadat haji adalah lambang pengorbanan agung pernah dianugerahkan kepada manusia. Ia merujuk kepada pengorbanan Nabi Ibrahim a.s dalam mendirikan rumah ibadah yang tertua sekali dalam sejarah manusia.

Walaupun pengorbanan jemaah haji dalam ibadat ini tidaklah menyamai tahap rasul dan nabi terdahulu namun mereka ditawarkan Allah s.w.t. keampunan seperti seorang bayi yang baru dilahirkan ke dunia.

Nabi Muhammad s.a.w bersabda: "Barang siapa mengerjakan haji dan dia tidak mencampurkannya dengan perkara lain (pada waktu terlarang) serta tidak berbuat maksiat, maka dia akan kembali seperti pada saat dilahirkan oleh ibunya." (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Nabi Ibrahim diperintahkan supaya membina Kaabah di tengah gurun pasir yang tidak pernah didiami manusia sebelum ini.

Peristiwa terbesar pengorbanan itu dinyatakan Allah s.w.t di dalam surah as-Saafaat ayat 102-109 yang maksudnya: "Maka tatkala anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: 'Wahai anak kesayanganku, sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu, maka fikirkanlah apa pendapatmu, anaknya menjawab: 'Wahai bapaku, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu, Insya-Allah, ayah akan mendapati aku dari orang yang sabar.'"

Setelah kedua-duanya berserah bulat-bulat (menjunjung perintah Allah itu), Nabi Ibrahim a.s merebahkan anaknya dengan meletakkan mukanya di atas tanah.

Kami menyerunya: "Wahai Ibrahim! engkau telah menyempurnakan maksud mimpi yang engkau lihat itu. Demikianlah sebenarnya kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan. Sesungguhnya perintah ini adalah satu ujian yang nyata dan kami tebus anaknya itu dengan seekor binatang sembelihan yang besar. Dan Kami kekalkan baginya (nama yang harum) dalam kalangan orang yang datang kemudian. Salam sejahtera kepada Nabi Ibrahim."

Nabi Ibrahim dan anaknya tenang menerima ketentuan dan amanah Allah s.w.t itu daripada terpengaruh dengan dalil akal yang tidak bebas daripada cengkaman hawa nafsu itu. Dengan penuh tawaduk baginda membenamkan mata pisau ke leher anaknya, Ismail.

Semua kerja yang tidak masuk akal ini dilaksanakan demi membuktikan kecintaan serta pengorbanan mereka kepada Allah s.w.t. Hasilnya, Kaabah tegak sebagai rumah ibadat yang agung sehingga menimbulkan perasaan dengki Abrahah yang kemudiannya menghantarkan tentera bergajah bagi memusnahkannya.

Alangkah terkejut dan bersyukurnya Nabi Ibrahim apabila mendapati seekor kibas terbaring menggantikan jasad anaknya, Nabi Ismail.

Demikianlah pengorbanan Nabi Ibrahim dalam melaksanakan syariat Allah s.w.t. Perjuangan baginda kemudian diteruskan Nabi Muhammad s.a.w. Baginda terpaksa lari meninggalkan Makkah dan bagi membersihkan tempat suci itu daripada syirik. Pelbagai penderitaan dan halangan dihadapi oleh junjungan nabi sebelum dikurniakan semula rumah ibadat teragung itu kepada Islam.

Peristiwa berkenaan membuktikan mereka yang berjaya sebenarnya ialah orang yang sanggup melakukan pengorbanan terhadap apa saja yang dimiliki semata-mata kerana Allah s.w.t termasuk berkorban masa, wang ringgit, kepentingan diri, tenaga serta fikiran.

Pengorbanan hakiki boleh diistilahkan sebagai bentuk pengorbanan yang dilakukan bukan untuk kepentingan diri, tetapi untuk membahagiakan orang lain meskipun apa jua yang mereka miliki itu lebih bererti untuk dirinya.

Pengarah Institut Kajian Hadis Selangor, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis), Mohd Farid Ravi Abdullah, berkata roh korban yang diambil daripada peristiwa Nabi Ibrahim a.s itu adalah pengorbanan yang paling tinggi sehingga mengorbankan anak sendiri.

"Manusia diuji dengan perkara yang mereka paling sayang iaitu keluarga. Sudah pasti tiada siapa yang sanggup mengorbankan anak mereka sendiri.

"Ibadah korban yang kita lakukan pada setiap tahun ini bertujuan mahu menzahirkan sunnah (korban) dengan menyembelih binatang empat kaki ini sebagai simbolik kepada peristiwa Nabi Ibrahim menyembelih anaknya Nabi Ismail a.s," katanya.

Mohd Farid berkata, pengorbanan yang dilalui keluarga mithali itu patut dicontohi kerana di dalamnya terdapat hikmah mendalam yang mahu membuktikan ketakwaan serta kecintaan hanya untuk Allah s.w.t.

Allah s.w.t berfirman yang bermaksud: "Daging dan darah binatang korban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepada-Nya ialah amal yang ikhlas berdasarkan takwa daripada kamu. Demikianlah Ia memudahkan binatang-binatang itu bagi kamu supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat nikmat petunjuk-Nya. Dan sampaikanlah berita gembira (dengan balasan yang sebaik-baiknya) kepada orang-orang yang berusaha supaya baik amalnya." (Surah al-Hajj ayat 37)

"Islam mengajar umatnya supaya sentiasa ikhlas dalam beribadat dan terus melakukan ibadat yang dituntut secara tetap dan bukannya dilakukan secara berkala atau bermusim. "Malah yang penting dalam ibadah korban itu dikira berdasarkan nilai ketakwaan, kesucian hati serta kesedaran bagi membantu golongan yang tidak bernasib baik," kata Mohd Farid.

Beliau berkata, umat Islam dituntut untuk terus melakukan kebaikan seperti membaca al-Quran, amal makruf, memperuntukkan harta bagi tujuan kebaikan dan bagi yang tidak mampu berkorban harta, maka mereka boleh berkorban tenaga.

"Kita mempunyai tuntutan untuk dilaksanakan dan hendaklah kembali semula kepada fitrah manusia.

"Manusia pula sememangnya perlu sentiasa diberikan peringatan serta motivasi kerana jika tidak mereka pasti akan lupa dan alpa," katanya.


No comments:

Post a Comment