Sempena cuti persekolahan, ramai kalangan ibu bapa mengambil
kesempatan mengkhatankan anak-anak lelaki mereka. Di Malaysia, lazimnya
amalan mengkhatankan anak lelaki dilakukan secara berkumpulan atau
dikenali majlis berkhatan beramai-ramai. Rasionalnya, selain daripada
melaksanakan tuntutan syarak, amalan sebegini mampu mengeratkan
hubungan sesama anggota masyarakat.
Sebenarnya, berkhatan beramai-ramai bukanlah satu perkara janggal.
Banyak kelebihan bila program itu dilakukan. Selain mengeratkan
hubungan sesama masyarakat, berkhatan dengan cara sebegini dapat
meningkatkan rasa keberanian kepada anak-anak yang dikhatankan. Di
sesetengah tempat, ia bagaikan suatu perayaan. Kanak-kanak diarak dan
dimandikan secara beramai-ramai sebelum dikhatankan.
Maksud Berkhatan
Masuk Jawi, berkhatan ataupun bersunat, kesemuanya membawa maksud yang sama iaitu membuang hujung anu atau bahasa kasarnya membuang kulup
Maksud berkhatan secara ilmiahnya ialah; memotong selaput kulit yang menutupi kepala zakar lelaki atau memotong sedikit hujung daging yang ada di sebelah atas faraj perempuan
Hukum berkhatan
Kebanyakan ulama seperti al-Sya‘bi, Rabi‘ah, al-Azra‘i, Yahya bin
Sa‘ad al-Ansari, Malik, al-Syafi‘i dan Ahmad memberitahu, amalan
berkhatan wajib bagi kaum lelaki.
“Banyak hadis Rasulullah SAW yang menunjukkan pensyariatan khatan.
Antaranya, diriwayatkan Abu Hurairah r.a katanya Rasulullah bersabda,
bermaksud, “Ada lima perkara yang dikategorikan sebagai fitrah (sifat
semula jadi) seseorang manusia iaitu berkhatan, mencukur bulu kemaluan,
memotong kuku, mencabut bulu ketiak dan menggunting misai” (Riwayat
al-Bukhari dan Muslim).
“Al-Khattabi pula berpendapat, meskipun khatan selalu disebut
bersama dengan perkara-perkara sunat seperti mencukur bulu ketiak dan
memotong kuku, namun kebanyakan ulama’ mengiranya sebagai wajib. Ini
kerana ia merupakan syiar Islam dan pembeza antara Muslim dan kafir.
“Sekiranya terdapat seorang yang berkhatan mati dalam kalangan
sekumpulan manusia yang tidak berkhatan, maka hendaklah disembahyangkan
dan dikuburkan di tanah perkuburan Islam,” kata Mohd Shukri Hanapi.
Beliau yang merupakan Felo Rancangan Latihan Kakitangan Akademik,
Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam, Pusat Pengajian Sains
Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia berkata, khatan wajib ketika
seseorang anak itu sudah hampir baligh.
Ini kerana tidak berapa lama lagi anak tersebut akan menjadi mukalaf untuk mematuhi segala hukum syariat dan perintah Allah.
Hikmah berkhatan
Setiap amalan yang disyariatkan Allah tidaklah sia-sia, malah ada
hikmah dan kelebihannya. Justeru, amalan berkhatan mempunyai banyak
faedah terutama daripada aspek kesihatan.
Menurut Dr. Sobri al-Qubbani di dalam bukunya Hayatuna al-Jinsiyyah,
antara faedah terpenting berkhatan ialah, seseorang lelaki itu akan
dapat menghindari penyakit kulit yang disebabkan peluh-peluh berkumpul
dalam kulit qulfah itu.
Perkara ini dibuktikan Dr Gerald Weiss yang menegaskan, tanpa
khatan, bahagian di bawah kulit yang menutupi kepala zakar akan menjadi
tempat takungan pelbagai jenis kuman. Hal ini meningkatkan risiko
mendapat infeksi. Kadangkala keadaan ini akan mengeluarkan bau yang
kurang menyenangkan.
Sebagaimana dijelaskan Dr. Danial Zainal Abidin dalam bukunya
‘Perubatan Islam Kontemporari’, terdapat banyak kajian dilakukan
menunjukkan khatan mencegah pelbagai jenis penyakit, antaranya:
Risiko wanita menghidap barah pangkal rahim tinggi jika pasangannya
tidak berkhatan. Satu kajian dilakukan di Lembah Kashmir pada 1993
menunjukkan, amalan berkhatan di tempat ini menyebabkan peratus barah
pangkal rahim rendah jika dibandingkan dengan kawasan-kawasan lain di
India.
Dr Edgar J Shoen dalam bukunya Circumcision A Lifetime of Medical
Benefits, seorang pakar kanak-kanak terkenal, luka yang sering berlaku
di kulit penutup zakar ketika melakukan persetubuhan memudahkan lelaki
yang tidak berkhatan dijangkiti kuman penyakit jangkitan seksual,
terutamanya siplis, chancroid dan genital herpes.
Berdasarkan hasil-hasil kajian di atas, jelaslah lelaki yang
berkhatan akan dapat menikmati kesihatan baik dan terhindar daripada
berbagai-bagai penyakit merbahaya.
No comments:
Post a Comment