ni akk cedok dari Utusan On9....aiseh camne ni...igtkan dok kat Nilai ni selamat, jauh dari kesesakan lalulintas, persekitarannye pon masih hijau lagik..
tup2....tersenarai antara 'bandar beracun'...iskkk..
BANGI 2 Okt. – Penduduk di kawasan bandar di Malaysia kini
berhadapan dengan ancaman pencemaran udara akibat pengeluaran asap
kenderaan berlebihan yang menukarkan bandar selamat yang dihuni selama
ini sebagai ‘bandar beracun’.
Bandar-bandar yang dikesan mengalami fenomena ini ialah Shah Alam,
Selangor; Putrajaya; Nilai, Negeri Sembilan dan Tanjung Malim, Perak.
Bandar-bandar lain yang kini dikatakan berada di peringkat
membimbangkan ialah Seberang Perai, Pulau Pinang; Kemaman, Terengganu
dan Johor Bahru, Johor.
Sama ada ia dianggap keterlaluan, mencemaskan atau menakutkan, namun itulah realitinya.
Faktanya, kajian sekumpulan pakar Universiti Kebangsaan Malaysia
(UKM) mendapati, gas ozon permukaan di Lembah Klang mencatat 160
bahagian per bilion (ppb) berbanding 100 ppb seperti disarankan.
Gas atau bahan kimia tersebut terhasil akibat kandungan udara
dipenuhi nitrogen dioksida (NO2) bertindak balas dengan cahaya matahari.
Lebih menakutkan, kajian perubatan menunjukkan pernafasan secara
berterusan selama beberapa jam dalam kualiti udara sedemikian boleh
mengganggu sistem pernafasan serta menghalang proses fotosintesis
daripada berlaku.
Menurut Ketua Program Sains Sekitaran UKM, Prof. Madya Dr. Mohd.
Talib Latif, gas ozon permukaan yang dicatatkan di Lembah Klang
seringkali melebihi kadar disarankan Jabatan Alam Sekitar bermula dari
pukul 11 pagi hingga 8 malam.
“Berdasarkan graf, ia bermula pukul 11 pagi dengan kadar bacaan 120
ppb. Bacaan tertinggi 160 ppb dicatatkan antara pukul 1 hingga 3 petang
hinggalah kembali menurun kepada kadar normal pada pukul 8 malam.
“Ini disebabkan jumlah kenderaan berganda di Lembah Klang dan asapnya memenuhi udara ketika itu.
“Udara yang mengandungi bahan kimia beracun itu kemudiannya akan
ditiup angin serta terkumpul di sekitar Lembah Klang seperti Shah Alam,
Putrajaya, Nilai dan Tanjung Malim,” katanya ketika ditemui di sini,
baru-baru ini.
Menurut beliau, walaupun fenomena tersebut turut dihadapi oleh
negara-negara maju, namun kebanyakan negara tersebut mempunyai iklim
empat musim menyebabkan ia hanya berdepan masalah tersebut pada musim
panas sahaja.
“Sebaliknya, di Malaysia masalah ini akan berlaku sepanjang tahun dan tidak seperti negara-negara yang mempunyai empat musim.
“Oleh itu, kerajaan perlu mengatur strategi yang berkesan untuk
mengurangkan masalah gas ozon permukaan yang berpunca daripada
kenderaan bermotor,” katanya.
Strategi tersebut katanya, termasuk menaiktaraf sistem pengangkutan
awam di seluruh negara selain meningkatkan kualiti bahan bakar yang
digunakan oleh setiap kenderaan.
Tegas Mohd. Talib, sekiranya tiada tindakan awal diambil, pencemaran
baru seperti gas ozon permukaan itu akan merebak ke seluruh negara.
No comments:
Post a Comment