rasanya tak terlambat lagi akk nak ucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha kepada kengkawan dan sesapa saja yang singgah kat dapur buruk ahkak ni...
mari lah sama2 kita menghayati apa erti korban..
kredit to mukmin.com
MASIH ingatkah kisah Wan Hafizam Wan Jusoh yang sanggup berkorban
menderma sebahagian hatinya kepada seorang bayi yang tidak ada
pertalian darah dengannya?
Kecekalan serta nilai kemanusiaan yang tinggi di jiwa pemuda terbabit
membolehkan bayi kecil berkenaan kini dapat terus menikmati kehidupan
selepas mendapat 'nyawa' hasil pendermaan itu.
Peristiwa berkenaan sudah lebih 10 tahun berlalu dan dikhabarkan Wan
Hafizam kini sudah mempunyai keluarga serta hidup bahagia bersama
keluarganya.
Itu antara keperibadian mulia yang perlu dicontohi apatah lagi
pengorbanan berkenaan hanya bersandarkan kasih sayang sesama insan
walaupun nyawa sendiri menjadi taruhan.
Begitu juga ertinya pengorbanan dilakukan individu yang rapat dengan kita seperti ibu bapa, guru serta sahabat.
Pengorbanan ibu bapa sememangnya tiada taranya. Tiada sesiapa pun di
dunia ini yang mampu membalas semula segala jasa dan pengorbanan orang
tua mereka.
Pejuang kemerdekaan terdahulu juga melakukan pengorbanan besar terhadap
kita dan tanpa pengorbanan mereka, mana mungkin kita dapat menikmati
keadaan negara seperti sekarang yang semuanya hidup dalam kerukunan.
Hari ini umat Islam di seluruh dunia merayakan Aidiladha dengan
melakukan ibadat korban menerusi penyembelihan binatang ternakan
bersama-sama untuk disedekahkan kepada umat Islam yang serba
kekurangan.
Malah, ibadat korban ini juga bukan satu ibadat bersifat 'biasa' kerana
pemilihan binatang untuk dijadikan korban amat dititikberatkan. Ini
termasuk memilih binatang yang benar-benar sihat, cukup umur dan tiada
kecacatan.
Allah s.w.t berfirman yang bermaksud: "Sesungguhnya Kami memberikan
kepadamu nikmat yang banyak. Maka dirikanlah solat kerana Tuhanmu dan
berkorbanlah (sebagai tanda syukur)." (Al Kautsar ayat 1-2)
Ibadat korban dilakukan sebagai mengingati peristiwa pengorbanan agung
pernah dilakukan seorang bapa, Nabi Ibrahim a.s serta anaknya Nabi
Ismail a.s selepas mendapat perintah Allah s.w.t untuk melakukan
perkara yang amat mustahil dilakukan manusia biasa.
Bagi umat Islam, ibadat haji adalah lambang pengorbanan agung pernah
dianugerahkan kepada manusia. Ia merujuk kepada pengorbanan Nabi
Ibrahim a.s dalam mendirikan rumah ibadah yang tertua sekali dalam
sejarah manusia.
Walaupun pengorbanan jemaah haji dalam ibadat ini tidaklah menyamai
tahap rasul dan nabi terdahulu namun mereka ditawarkan Allah s.w.t.
keampunan seperti seorang bayi yang baru dilahirkan ke dunia.
Nabi Muhammad s.a.w bersabda: "Barang siapa mengerjakan haji dan dia
tidak mencampurkannya dengan perkara lain (pada waktu terlarang) serta
tidak berbuat maksiat, maka dia akan kembali seperti pada saat
dilahirkan oleh ibunya." (Riwayat Bukhari dan Muslim).
Nabi Ibrahim diperintahkan supaya membina Kaabah di tengah gurun pasir yang tidak pernah didiami manusia sebelum ini.
Peristiwa terbesar pengorbanan itu dinyatakan Allah s.w.t di dalam
surah as-Saafaat ayat 102-109 yang maksudnya: "Maka tatkala anaknya itu
sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama
dengannya, Nabi Ibrahim berkata: 'Wahai anak kesayanganku, sesungguhnya
aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu, maka fikirkanlah
apa pendapatmu, anaknya menjawab: 'Wahai bapaku, jalankanlah apa yang
diperintahkan kepadamu, Insya-Allah, ayah akan mendapati aku dari orang
yang sabar.'"
Setelah kedua-duanya berserah bulat-bulat (menjunjung perintah Allah
itu), Nabi Ibrahim a.s merebahkan anaknya dengan meletakkan mukanya di
atas tanah.
Kami menyerunya: "Wahai Ibrahim! engkau telah menyempurnakan maksud
mimpi yang engkau lihat itu. Demikianlah sebenarnya kami membalas
orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan. Sesungguhnya perintah
ini adalah satu ujian yang nyata dan kami tebus anaknya itu dengan
seekor binatang sembelihan yang besar. Dan Kami kekalkan baginya (nama
yang harum) dalam kalangan orang yang datang kemudian. Salam sejahtera
kepada Nabi Ibrahim."
Nabi Ibrahim dan anaknya tenang menerima ketentuan dan amanah Allah
s.w.t itu daripada terpengaruh dengan dalil akal yang tidak bebas
daripada cengkaman hawa nafsu itu. Dengan penuh tawaduk baginda
membenamkan mata pisau ke leher anaknya, Ismail.
Semua kerja yang tidak masuk akal ini dilaksanakan demi membuktikan
kecintaan serta pengorbanan mereka kepada Allah s.w.t. Hasilnya, Kaabah
tegak sebagai rumah ibadat yang agung sehingga menimbulkan perasaan
dengki Abrahah yang kemudiannya menghantarkan tentera bergajah bagi
memusnahkannya.
Alangkah terkejut dan bersyukurnya Nabi Ibrahim apabila mendapati
seekor kibas terbaring menggantikan jasad anaknya, Nabi Ismail.
Demikianlah pengorbanan Nabi Ibrahim dalam melaksanakan syariat Allah
s.w.t. Perjuangan baginda kemudian diteruskan Nabi Muhammad s.a.w.
Baginda terpaksa lari meninggalkan Makkah dan bagi membersihkan tempat
suci itu daripada syirik. Pelbagai penderitaan dan halangan dihadapi
oleh junjungan nabi sebelum dikurniakan semula rumah ibadat teragung
itu kepada Islam.
Peristiwa berkenaan membuktikan mereka yang berjaya sebenarnya ialah
orang yang sanggup melakukan pengorbanan terhadap apa saja yang
dimiliki semata-mata kerana Allah s.w.t termasuk berkorban masa, wang
ringgit, kepentingan diri, tenaga serta fikiran.
Pengorbanan hakiki boleh diistilahkan sebagai bentuk pengorbanan yang
dilakukan bukan untuk kepentingan diri, tetapi untuk membahagiakan
orang lain meskipun apa jua yang mereka miliki itu lebih bererti untuk
dirinya.
Pengarah Institut Kajian Hadis Selangor, Kolej Universiti Islam
Antarabangsa Selangor (Kuis), Mohd Farid Ravi Abdullah, berkata roh
korban yang diambil daripada peristiwa Nabi Ibrahim a.s itu adalah
pengorbanan yang paling tinggi sehingga mengorbankan anak sendiri.
"Manusia diuji dengan perkara yang mereka paling sayang iaitu keluarga.
Sudah pasti tiada siapa yang sanggup mengorbankan anak mereka sendiri.
"Ibadah korban yang kita lakukan pada setiap tahun ini bertujuan mahu
menzahirkan sunnah (korban) dengan menyembelih binatang empat kaki ini
sebagai simbolik kepada peristiwa Nabi Ibrahim menyembelih anaknya Nabi
Ismail a.s," katanya.
Mohd Farid berkata, pengorbanan yang dilalui keluarga mithali itu patut
dicontohi kerana di dalamnya terdapat hikmah mendalam yang mahu
membuktikan ketakwaan serta kecintaan hanya untuk Allah s.w.t.
Allah s.w.t berfirman yang bermaksud: "Daging dan darah binatang korban
atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang
sampai kepada-Nya ialah amal yang ikhlas berdasarkan takwa daripada
kamu. Demikianlah Ia memudahkan binatang-binatang itu bagi kamu supaya
kamu membesarkan Allah kerana mendapat nikmat petunjuk-Nya. Dan
sampaikanlah berita gembira (dengan balasan yang sebaik-baiknya) kepada
orang-orang yang berusaha supaya baik amalnya." (Surah al-Hajj ayat 37)
"Islam mengajar umatnya supaya sentiasa ikhlas dalam beribadat dan
terus melakukan ibadat yang dituntut secara tetap dan bukannya
dilakukan secara berkala atau bermusim. "Malah yang penting dalam
ibadah korban itu dikira berdasarkan nilai ketakwaan, kesucian hati
serta kesedaran bagi membantu golongan yang tidak bernasib baik," kata
Mohd Farid.
Beliau berkata, umat Islam dituntut untuk terus melakukan kebaikan
seperti membaca al-Quran, amal makruf, memperuntukkan harta bagi tujuan
kebaikan dan bagi yang tidak mampu berkorban harta, maka mereka boleh
berkorban tenaga.
"Kita mempunyai tuntutan untuk dilaksanakan dan hendaklah kembali semula kepada fitrah manusia.
"Manusia pula sememangnya perlu sentiasa diberikan peringatan serta
motivasi kerana jika tidak mereka pasti akan lupa dan alpa," katanya.